Program KISS Bantu Golongan Ibu

SHAH ALAM – Program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang diperkenalkan kerajaan negeri disifatkan jauh lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) khususnya bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kiss memberikan bantuan kewangan RM200 setiap bulan selama setahun bagi membolehkan golongan ibu terlibat membeli barangan keperluan asas berbanding BR1M yang diberikan secara one-off.

“Kiss jauh lebih baik kerana setahun mereka memperoleh bantuan terus berjumlah RM2,400 berbanding BR1M hanya RM1,200.

“Bantuan BR1M oleh kerajaan persekutuan juga diberikan kepada ketua keluarga manakala Kiss kita berikan kepada golongan ibu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Menurutnya, dengan peruntukan sebanyak RM 72 juta, inisiatif Kiss akan membantu golongan wanita berpendapatan rendah di bawah RM2,000, ibu tunggal dan wanita yang tidak berkahwin tetapi menjaga ibu bapa.

Beliau turut menjelaskan Kiss merupakan program pemberian makanan asas sama seperti Food Stamp yang dilakukan dahulu tetapi ia ditambah baik dengan memberikan kad khusus bernilai RM200.

Daroyah menjelaskan kerajaan negeri akan berbincang dan memaklumkan kelak lokasi pasar raya untuk pemegang kad Kiss membeli belah.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM72 juta bagi program itu dengan anggaran 30,000 ibu dijangka menerima manfaat RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Sumber: Sinar Harian

Borang Permohonan: Muaturun Borang Permohonan KISS

Lebih lanjut: Kiss.com.my

Admin1