PTRS bantu anak pekerja kilang cemerlang SPM

PETALING JAYA – Selain doa ibu bapa dan usaha sehingga mencatat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sharina Sarimin, 18, tidak melupakan peranan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang melayakannya menerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang peringkat DUN Taman Medan.

“Saya merupakan harapan keluarga dan ingin menjadi seorang ahli sains yang berjaya, seterusnya mengubah nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS di Dewan MBPJ, baru-baru ini.

Bapanya, Sarimin Salleh ternyata berbangga dengan pencapaian anaknya dan berkata, beliau dan isteri hanya bekerja kilang dan berusaha mencari rezeki untuk anak-anak melanjutkan
pelajaran sehingga ke menara gading.

PTRS yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiga tahun lalu di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), memberi peluang kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM1500 sebulan menghantar anaknya ke program ini yang dijalankan secara percuma.

Selain itu, Sharina berkata, program PTRS berbeza dengan tuisyen berbayar kerana bagi pelajar yang berasal daripada golongan sederhana sepertinya, mereka akan lebih menghargai apa yang disediakan secara percuma demi mencapai cita-cita pada masa hadapan.

“Suasana pembelajaran semasa PTRS berbeza, kerana gurugurunya gigih mencurahkan ilmu agar setiap pelajar, sekurang – kurangnya memperbaiki sesuatu yang tidak boleh difahami semasa di sekolah,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Medan.

Sementara itu, 25 Pelajar Cemerlang SPM 2011 DUN Taman Medan, turut dirai dan diberikan penghargaan atas usaha yang ditunjukkan dalam SPM lalu.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tunku Ampuan Jemaah, Muhd Qusyairei Paiman berjaya mendapat 7A dalam SPM lalu berkata, setiap pelajar boleh berjaya jika disertai dengan kesungguhan untuk memajukan diri dan bercita-cita tinggi.

“Saya bercita-cita ingin menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang syariah dan usuluddin, seterusnya menjadi contoh kepada adikberadik yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS Peringkat DUN Taman Medan ini dihadiri Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli-ahli Majlis MBPJ, Mohd Akhir Pawan

Oleh Siraj Mohd Zaini (Selangorkini 18-25 Mei 2012)

Admin1

Leave Comment :