PTRS bantu dua beradik masuk IPTA

Siti Aishah, 20, dan Siti Sarah, 18, mempunyai bapa yang bekerja sebagai pemandu lori. Tetapi kedua-dua anak Mohd Rasid Hashim, 48, berjaya memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas mengikuti Program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) anjuran kerajaan Selangor.

Siti Aishah yang kini menuntut dalam jurusan Akauntansi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPR) 2009 dengan 7A.

“Saya mengikuti tuisyen di PTRS pada 2009 dalam DUN Sri Muda dan bersyukur dengan bimbingan tenaga pengajar yang berwibawa menjadikan saya lebih berilmu dan bersedia dalam
menghadapi peperiksaan.

“Keputusan 7A yang saya capai amat menggembirakan saya dan keluarga kerana memang kami tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan. Saya amat berterima kasih dengan kerajaan negeri yang mengadakan PTRS secara percuma kepada anak-anak Selangor yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pendapat Siti Aishah disokong adiknya, Siti Sarah, 18, yang turut menghadiri PTRS dan mencatat 9A bagi keputusan SPM tahun lalu seterusnya akan melanjutkan pelajaran ke UiTM Segambut, Johor pada 2 Jun nanti dalam jurusan sama.

“Dengan bimbingan dan latihan yang diterima, saya berjaya dan gembira PTRS memang memberi kesan positif ke atas diri pelajar yang mengikutinya. Ia membawa makna besar bagi keluarga kami yang serba kekurangan.

“Saya harap program ini diteruskan kerana banyak kebaikan yang akan dinikmati bagi golongan pelajar seperti kami di Selangor,” katanya lagi yang menerima penghargaan dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar UPSR, PMR dan SPM 2011 & Perasmian PTRS 2012 DUN Sri Muda pada 6 Mei lalu.

Program anjuran DUN Sri Muda ini sebagai penghargaan kepada 100 pelajar yang mencatat
keputusan cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.

Selangorkini 18-25 Mei 2012

Admin1

Leave Comment :