Rakyat terus dibela di bawah Inisiatif Peduli Rakyat

RANTAU PANJANG, 27 MEI: Seramai 79 masyarakat DUN Sungai Pinang menerima manfaat bantuan Smart Selangor Food Stamp dan Kad Peduli Sihat yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri membantu rakyat dengan program kebajikan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia bertujuan membantu mengurangkan beban keluarga kurang berkemampuan iaitu isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

 “Sejak diperkenalkan tahun lalu, rakyat yang terpilih mendapat bantuan Food Stamp hampir setiap bulan.

“Kerajaan Negeri berharap dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka dapat menghadapi ekonomi yang tidak stabil,” katanya ketika berucap dalam program Smart Selangor Food Stamp di Dewan Orang Ramai Palembang, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Difahamkan seramai 35 keluarga menerima bantuan food stamp, manakala 44 lagi menerima kad peduli sihat.

Beliau yang juga merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan berkata, program itu hanyalah dua daripada 19 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang tdilancarkan sejak Pakatan mentadbir Selangor pada 2008.

“Selangor adalah negeri pertama yang mampu melaksanakna program seperti ini.

“Ini boleh berlaku kerana kita berjaya merancang dan melaksanakan urus takbir kewangan dengan baik,” katanya,

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rantau Panajng, Abdul Khalid Kaab berkata, beliau bagi pihak penduduk kawasan itu, bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat.

“Kita dapat lihat Selangor adalah negeri yang berkebajikan kerana mereka mampu memberi manfaat kepada rakayat melalui pelbagai program,” katanya.

Sementara itu, Penerima bantuan food stamp, Noor Paezah Ramli, 46, berkata, sedikit sebanyak program itu dapat membantu meringankan beban belanja dapurnya.

“Alhamdulillah sejak dilancarkan tahun lalu, saya menerima bantuan ini setiap bulan.

“Selain itu, melalui bantuan ini juga saya boleh jimat menggunakan perbelanjaan dapur kepada perbelanjaan persekolahan serta keperluan lain untuk anak-anak,” katanya yang merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak.

=EZY=

OLEH SYAZWANI SUFIAN (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :