Ramai cemburu Skim Peduli Sihat

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 34,780 sudah berdaftar di bawah Kategori Khas untuk Skim Peduli Sihat, setakat 1 Ogos lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia meliputi golongan asnaf berdaftar di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), anak yatim, warga emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, ia diwujudkan bagi memudahkan kumpulan B40 termasuk warga emas dan anak yatim yang belum berkeluarga atau bekerja juga bersara menyertai skim dengan peruntukan RM125 juta itu.

“Rasa cemburu terhadap kejayaan pelaksanaan Skim Peduli Sihat terus membelenggu golongan yang tidak senang dengan usaha Kerajaan Negeri mengangkat kebajikan rakyat.

YB Daroyah“Tidak hairanlah jika Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan terbaru, Parti Gerakan tidak senang duduk dengan skim yang terus menerima sambutan menggalakkan ini,” katanya.

Sejak dilancarkan awal tahun ini, Kerajaan Negeri menerima 237,523 permohonan untuk menjadi peserta Skim Peduli Sihat.

Daroyah berkata, prosedur permohonan skim sama dan menyeluruh di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya boleh dibuat secara dalam talian serta perlu disahkan Ahli Dewan Negeri (ADN) atau Penyelaras DUN.

Katanya, jumlah keahlian rendah di DUN tertentu sama sekali tidak berhubung kait dengan dasar Kerajaan Negeri seperti didakwa Parti Gerakan.

“Persepsi bahawa sesetengah DUN diketepikan atau wakil rakyatnya tidak berfungsi dengan baik adalah tidak benar sama sekali kerana ADN juga Penyelaras DUN sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Beberapa DUN yang disebut memiliki keahlian sedikit itu berada di kawasan bandar dan besar kemungkinan pemohon tidak layak serta bukan tergolong dalam kumpulan B40,” katanya.

Terdahulu, Parti Gerakan menyerahkan memorandum menggesa Kerajaan Negeri menjelaskan keperluan mewujudkan Kategori Khas selain memohon penjelasan berkenaan pendaftaran rendah di beberapa DUN seperti Bukit Gasing dan Kampung Tunku.

OLEH LIZAWATI MADFA (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :