Rebut peluang mohon KISS

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membuka peluang kepada seluruh wanita, khususnya golongan ibu, di negeri ini untuk memohon skim terbabit bagi meringankan beban.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, beliau berharap lebih ramai wanita mahupun golongan ibu memohon KISS, pada masa akan datang.

“Peluang emas begini tiada di mana-mana negeri mahupun di peringkat Kerajaan Persekutuan, jadi saya harap golongan wanita mulai sedar dan ambil peluang memohon KISS.

“Saya rasa terharu kerana Kerajaan Negeri mengiktiraf status dan sumbangan golongan wanita dan ibu, di Malaysia dengan mewujudkan program yang dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, petang ini.

Program itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, Elizabeth berkata, beliau berasa terharu apabila melihat ramai di antara golongan wanita yang menerima kad KISS itu kelihatan ceria.

“Saya yakin program ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan wanita dan ahli keluarga mereka untuk membeli barang keperluan.

“Bagi saya, ini adalah program pertama Kerajaan Negeri yang memberi kuasa terhadap wanita menguasai ekonomi dan membuktikan golongan itu mampu menguruskan kewangan keluarga,” katanya.

Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan dalam talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1