RM1.3 juta kepada 299 peserta ‘Zero to Hero’

SHAH ALAM, 10 OKT: Sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu 299 peserta skim ‘Zero to Hero’ di bawah Hijrah Selangor (HIJRAH), setakat ini.

Ketua Pengurus Operasi Hijrah Selangor, Roslim Md Akhir berkata, ia disalurkan menerusi bimbingan 13 syarikat peneraju meliputi pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, antara perniagaan berkenaan adalah telekomunikasi, asas jahitan, bakeri, percetakan baju, urutan selepas bersalin, solekan professional dan ‘mobile aircond services’.

“Kita mahu setiap syarikat peneraju yang bertindak sebagai mentor memantau perkembangan mentee di bawah mereka.

“Ia termasuk laporan pendapatan diperolehi mereka bermula daripada awal penyertaan skim untuk dinilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat bersama syarikat peneraju program berkenaan di Bangunan Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Menerusi ‘Zero to Hero’, HIJRAH memilih dan melantik syarikat peneraju berpotensi untuk melaksanakan sistem ‘mentoring’ (melatih dan memantau) kepada peserta terpilih mengikut jangka masa tertentu.

Selepas tamat tempoh berkenaan, hanya peserta yang layak diberi peluang membuat permohonan pinjaman HIJRAH sementara syarikat peneraju membekalkan peralatan dan bahan perniagaan.

Perjalanan perniagaan dipantau syarikat peneraju selama enam bulan dan pemantauan seterusnya dilakukan HIJRAH.

=EZY=

OLEH LIZAWATI MADFA (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :