RM1.6 bilion belanja air percuma

SHAH ALAM, 5 DIS: Sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan Kerajaan Negeri sejak pelaksanaan program pemberian air percuma 20 meter padu, pada Jun 2008 hingga Oktober 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada tahun pertama skim itu dilaksanakan, sebanyak RM68 juta diperuntukkan untuk setiap isi rumah.

“Angka ini bertambah setiap tahun. Pada 2009, sebanyak RM131 juta, RM167 juta (2014), RM179 juta (2016) dan RM183 juta (2017).

“Jumlah ini juga jika diteruskan dan akan mencecah lebih RM200 juta serta hampir membabitkan peruntukan 10 peratus dalam belanjawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong berkenaan kos pemberian air percuma yang dilaksanakan, di negeri ini.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan skim pemberian air percuma sebanyak 25 meter padu itu hanya diberikan kepada golongan sasar yang berada dalam kalangan B40, iaitu mereka yang berdaftar dan mempunyai data dengan program e-kasih.

Katanya, peningkatan jumlah penduduk yang semakin tinggi di Selangor menjadi punca skim pemberian air percuma hanya diberikan kepada golongan B40.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1