RM2.557 bilion laksana IPR demi kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM2.557 bilion (RM2,557,189,458.84) sepanjang 10 tahun pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bermula 2008.

Exco Kemiskinan, dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, walaupun membelanjakan jumlah peruntukan besar, Kerajaan Negeri optimis program itu memberi impak kepada penerima.

Katanya, ia berdasarkan penerimaan dan reaksi rakyat terhadap program itu sehingga kini.

“Daripada jumlah itu, bekalan air percuma 20 meter padu percuma mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sebanyak RM1.35 bilion.

“Ia diikuti dengan Skim Hijrah Selangor sebanyak RM339 juta serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM223 juta,” katanya menjawab pertanyaan Ng Tien Chee-Balakong.

Terdahulu, sebanyak 42 program dilaksanakan menerusi program IPR yang diasaskan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Ganabatirau berkata sebanyak RM41.6 juta dibelanjakan kepada rakyat menerusi program Jom Shopping sejak tahun 2012.

Katanya, jumlah itu membabitkan 478,468 orang menerima manfaat.

Jom Shopping merupakan program pemberian bantuan secara baucar sebanyak RM100 untuk rakyat miskin bersempena perayaan.

Ia membabitkan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my

=EZY=

Admin1