RM5 juta diperuntuk Bantuan Sihat Selangor khas buat pesakit kanser

AMPANG JAYA, 10 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta menerusi Bantuan Sihat Selangor khusus buat pesakit kanser.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bantuan itu pernah diadakan namun tidak spesifik.

“Sebelum ini, Bantuan Sihat Selangor sudah dibuka kepada pesakit kanser tetapi di bawah kategori ‘lain-lain’ dan kali ini kita bukakan secara spesifik.

“Objektif supaya ramai yang akan nampak dan sedar bahawa Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah rakyat terutama berkaitan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang turut dihadiri EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha serta Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, sejumlah RM5,000 diperuntukkan kepada setiap seorang pesakit kanser yang memohon dana Bantuan Sihat Selangor itu.

“Kerajaan Negeri menyediakan dana ini bagi memudahkan pesakit kanser membuat rawatan susulan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai dana akibat kesempitan hidup.

“Oleh itu, saya menyeru pesakit kanser terutama di Selangor untuk berani tampil melakukan pemeriksaan sekali gus memanfaatkan peluang yang diberikan Kerajaan Negeri melalui Bantuan Sihat Selangor ini,” katanya.

 

OLEH SHEEDA FATHIL (Selangorkini.my)

Admin1