RM825,000 jaya pembangunan, IPR di DUN Sungai Kandis

KLANG, 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM825,000 kepada peserta Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di sini, semalam.

Sunbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan IPR DUN Sungai Kandis bersama Dato’ Menteri Besar di kawasan berkenaan.

“Pemberian sumbangan ini bukan datang pada pilihan raya umum atau kecil tetapi kita beri hampir setiap bulan.

“Sebelum ini, mantan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) dalam tempoh tiga ke empat tahun lalu, turun hampir ke semua daerah bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dan pada masa sama, rakyat memahami apa dikatakan peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah program pertamanya sebagai Dato’ Menteri Besar dan lebih banyak program turun padang lain selepas ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri melalui IPR akan memastikan hasil kekayaan negeri dinikmati rakyat tanpa meminggirkan golongan sasaran dan memerlukan.

“Kekayaan negeri ini bukan untuk dinikmati pihak tertentu, termasuk golongan pemimpin tetapi seluruh rakyat yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembelaan.

“Tiada makna jika kekayaan negeri tidak diagihkan secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat usia,” katanya.

Justeri, beliau berkata, peruntukan disalurkan hari ni adalaj bagi manfaat semua peserta program antaranya Hijrah Selangor, Skim Peduli Sihat, Insentif Perkahwinan Belia dan Iktisass.

“Ia termasuk keuntungan daripada Pemerbadanan Menteri Besar yang diberikan bagi tujuan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

OLEH HAFIZAN TAIB (selangorkini.my)

Admin1