Sambutan bermakna dengan Jom Shopping

SHAH ALAM, 3 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina bakal disambut meriah dan lebih bermakna apabila 500 warga emas, orang kelainan upaya dan golongan kurang berkemampuan dibantu secara berterusan menerusi
Program Jom Shopping.

Penerima Tan Tang Peng, 73, berkata walaupun nilai RM100 dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan, pemberian ini membawa erti yang besar.

Katanya, dengan sumbangan itu beliau dapat membeli barangan keperluan untuk menyambut perayaan terbabit tidak lama lagi.

“Saya sangat gembira. Setiap tahun kami sekeluarga dapat melengkapkan keperluan perayaan dengan sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini.

“Kami sekeluarga berharap, sumbangan ini dapat diteruskan dari masa ke semasa dalam meringankan beban rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata program itu menerima sambutan yang meriah setiap kali diadakan.

“Sepatutnya peruntukan hanya kepada 400 penerima tetapi memandangkan permohonan dan kelayakan melebihi, kita menambah lagi 100 penerima.

“Saya berharap dengan sumbangan ini, mereka lebih gembira kerana ia dapat meringankan beban mereka ketika kos sara hidup yang semakin meningkat masa kini,” katanya.

Rodziah berkata Program Jom Shopping juga menjadi ruang baru untuk warga emas ini bertemu dan bertanya khabar, rata-rata warga emas ini menyatakan rasa gembira.

Sejak 2009, sejumlah RM 2.5 juta baucer dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk diberikan kepada setiap rakyat menjelang hari perayaan setiap tahun.

=EZY=

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin1