Selangor biaya 810 pengasuh di rumah jalani kursus

PETALING JAYA, 30 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan terbaik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di Selangor khasnya bagi golongan keluarga berpendapatan rendah.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara langkah diambil Kerajaan Negeri dengan mengadakan Program Kursus Instensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

“Sejak 2013 hingga Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM652,000 untuk membiayai 810 orang suri rumah di Selangor menyertai program untuk menjadikan mereka sebagai pengasuh lebih terlatih dan selamat.

“Kursus akan diteruskan pada tahun akan datang dan akan mensasarkan wanita yang menerima insentif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) iaitu mereka yang berpendapatan rendah di mana kita ada program yang dinamakan ‘Hope From Home’.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas merasmikan program Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, selain membantu golongan suri rumah menjana pendapatan, program ini juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah sekaligus memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing di pusat asuhan yang terlatih, teratur dan selamat.

Sementara itu Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Arba’ain Abdul Rahman pula berkata, permintaan suri rumah untuk menyertai kursus selama tiga hari itu didapati semakin bertambah.

Katanya, keadaan ini menyebabkan RMSB mengambil keputusan menambah sesi kursus ini daripada empat sesi pada tahun sebelumnya kepada lapan sesi bagi tahun ini.

“Kita telah mengadakan 25 sesi dan pada tahun sebelumnya kita buat empat sesi dengan seramai 30 peserta setiap sesi tetapi disebabkan permintaan tinggi kita tambah lapan sesi tahun ini dengan jumlah peserta seramai 40 orang setiap sesi,” katanya.

OLEH NAZLI IBRAHIM (selangorkini.my)

Admin1