Selangor jamin sedia perkhidmatan kesihatan terbaik

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk kekal konsisten menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi keberkesanan program Skim Peduli Sihat yang memberi manfaat berterusan kepada golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

“Saya tegaskan bahawa sementara kita meraikan kemajuan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran, Kerajaan Negeri akan terus menjamin penjagaan kesihatan untuk rakyat miskin dan berpendapatan sederhana.

“Sambutan menggalakkan terhadap perlaksanaan Skim Peduli Sihat membuktikan wujudnya kesedaran rakyat terhadap aspek kesihatan semasa.

“Justeru, sebagai Kerajaan Negeri yang peduli rakyat, kita bertanggungjawab meningkatkan akses kesihatan kepada rakyat dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti termasuk perkhidmatan pakar di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman bersama IJN Holdings Sdn Bhd dan SELGATE Corporation di Dewan Aster, Laman PKNS, 31 Oktober lalu.

Terdahulu, komitmen Kerajaan Negeri melaksanakan agenda berkebajikan turut meliputi pengumuman inisiatif Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Sasaran pelaksanaannya tertumpu kepada kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara hidup.

Untuk itu, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM 125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat yang menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250 ribu keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah.

 

 

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :