Selangor sedia bantu Putrajaya laksana Skim Peduli Sihat

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor bersedia membantu Kerajaan Persekutuan melaksanakan program berkebajikan Skim Peduli Sihat, di peringkat nasional.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, optimis keberkesanan dasar itu boleh dilaksanakan ke seluruh negara selepas kejayaannya, di Selangor.

“Kerajaan Negeri menyambut baik dan berbesar hati kerana Selangor dijadikan model dalam usaha kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kita sedia maklum bahawa Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor mempelopori usaha murni ini menerusi keberkesanan Skim Peduli Sihat.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjalankan menjalankan kajian ini dan melaksanakannya bagi manfaat semua rakyat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu memperluas skim kesihatan rakyat Selangor itu kepada masyarakat seluruh negara.

Tun Dr Mahathir berkata, manfaat skim itu diperluas menerusi kajian pemberian insurans Takaful Kesihatan kepada golongan miskin.

Komitmen terbaru pentadbiran Putrajaya itu seiring dengan janji manifesto sebelum ini yang mensasarkan pelaksanaan Skim Peduli Sihat untuk rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berharap, pelaksanaan skim itu akan kekal memberi manfaat kepada masyarakat memerlukan, di negara ini.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia yang berkelayakan dapat menerima manfaat daripada kemudahan Skim Peduli Sihat ini dengan sebaik-baiknya.

“Keperluan ini sebagai komitmen kita untuk melihat kualiti penjagaan kesihatan dapat dipertingkat dan seluruh rakyat dapat hidup dengan cergas serta sejahtera,” katanya.

Terdahulu, Skim Peduli Sihat mula diperkenalkan di Selangor menerusi tawaran pembiayaan kos rawatan asas kepada 250,000 keluarga atau sejuta rakyat negeri itu berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Inisiatif itu turut menawarkan rawatan kesihatan asas secara percuma di 1,000 klinik swasta Selangor dan Lembah Klang yang berdaftar, di bawah skim berkenaan.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM125 juta bantuan kewangan bagi memastikan golongan sasar menerima manfaat jangka panjang skim itu.

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Admin1