SiKembar bantu golongan berpendapatan rendah

Peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup sering meniti daripada bibir ke bibir masyarakat,  sejak kebelakangan ini.

Situasi runcing itu ternyata memberi kesan kepada kuasa beli pengguna dan menjadi keluhan rakyat akibat ketidakcukupan pendapatan untuk menampung keperluan asas serta bebanan hutang.

Bagaimanapun, ia adalah realiti yang harus diharungi semua rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Bukan sahaja untuk menampung kenaikan harga barang, malahan aspek keselamatan juga harus diberi penekanan serius kerana ia adalah elemen keperluan terhadap anak.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Selangor tampil menjadi contoh terbaik dengan merancakkan lagi peranan pentadbirannya melalui tawaran Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar).

SiKembar adalah program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) atau kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam menguruskan kehidupan secara lebih berkualiti.

Melalui skim baru itu, ibu bapa yang layak dan memenuhi syarat akan menerima bantuan RM100 setiap bulan yang akan  dibayar terus melalui cek kepada taska anak mereka termasuk institusi atau rumah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM).

Justeru, dasar memperluaskan kelayakan penerima bantuan terus  dipertingkatkan supaya tiada golongan yang tercicir daripada menikmati ekonomi Selangor.

Dengan syarat sedia ada, ibu bapa berpendapatan seisi keluarga RM2,500 ke bawah yang menanggung seorang anak atau RM3,000 ke bawah yang menanggung dua anak digalakkan memohon skim itu. Malah, Rantaian Mesra Sdn Bhd yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri mencadangkan supaya had gaji kelayakan dinaikkan supaya lebih ramai yang layak memohon.

KIPK beri peluang kaum wanita jana pendapatan

Skim SiKembar mendapat respon positif dalam kalangan wanita khususnya suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan dengan mengusahakan pusat jagaan secara persendirian.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kaum wanita berpeluang membuka pusat asuhan dan taska di rumah dengan mengikuti Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK).

Katanya, setiap tahun sebanyak empat siri program dianjurkan dengan kapasiti setiap siri membabitkan 30 peserta yang diberi peluang mengikuti kursus itu secara percuma.

“Oleh kerana permintaan yang sangat tinggi, maka bermula pada tahun ini sebanyak lapan program bakal dilaksana membabitkan 40 peserta setiap siri.

Selain perkongsian ilmu, ia turut memberi pendedahan berhubung perkhidmatan penjagaan kanak-kanak secara terbaik.

“Pelaksanaan KIPK jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan aspek keselamatan kanak-kanak dipelihara sebaik mungkin,” katanya.

Dr Daroyah turut memaklumkan, selain SiKembar, terdapat beberapa program Kerajaan Negeri yang boleh memberi manfaat kepada pengasuh juga ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang akan diasuh kelak.

Kaum wanita berpeluang  membuka pusat asuhan dan taska di rumah dengan mengikuti Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK). Dr Daroyah Alwi Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga,

Antaranya program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Skim Bantuan Tadika Negeri Selangor (TUNAS).

24 KIPK berjaya dilaksana

Sejak 2013 sehingga kini, sebanyak 24 program Kursus Intensif Perkembangan kanak-kanak (KIPK) kendalian Rangkaian Mesra Sdn Bhd berjaya dilaksana dengan kos keseluruhan menjangkau RM609,216 hasil peruntukan Kerajaan Negeri.

Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Noordin berkata, kursus yang dilaksanakan bertujuan mempersiapkan diri mereka dengan Kursus Asuhan dan Pendidikan Permata (KAP).

“Melalui pembabitan 698 pengusaha taska, ia membolehkan pengusaha taska memperoleh sijil KIPK yang juga sijil sementara selama setahun, sekali gus melayakkan diri menerima pengiktirafan secara sah daripada JKM,” katanya.

Fauzi menggesa pengusaha dan pengasuh taska menghadiri kursus terbabit bagi melancarkan proses mendapat sijil pengiktirafan sebagai pengasuh yang terlatih serta bertauliah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyalurkan bantuan dan sokongan terutama daripada aspek  menaiktaraf prasarana serta pembangunan latihan.

“Justeru, pengusaha wajib menyertai kursus intensif supaya jumlah taska yang diiktiraf dan diluluskan semakin bertambah.

Pada masa sama, ia membantu proses pemutihan taska dengan menyediakan pusat jagaan kanakkanak yang kondusif dan selesa, di negeri ini.

“Pengiktirafan juga adalah berdasarkan kepada kemampuan taska mematuhi peraturan disyorkan JKM dan Pihak Berkuasa Tempatan demi menjaga kebajikan kanak-kanak,” katanya.

Skim berteraskan pembasmian kemiskinan

Skim berteraskan pembasmian kemiskinan Skim SiKembar menepati salah satu program teras pembasmian kemiskinan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan (JTK) sebagai program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat Selangor.

Fauzi berkata, skim itu antara lain bertujuan menyediakan bantuan kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kos penghantaran anak ke taska.

“Bagi keluarga berpendapatan rendah yang kedua ibu bapa bekerja mencari pendapatan, maka anak mereka perlu dihantar kepada pengasuh.

“Pengasuh pula akan mengenakan caj bayaran untuk setiap anak yang dijaga antara RM350 hingga RM450, malahan ada yang jauh lebih tinggi daripada itu. Oleh itu, melalui skim sebanyak RM100 sebulan, ia mampu mengurangkan beban kos  enghantaran anak ke taska,” katanya.

OLEH ZAREEF MUZAMMIL (selangorkini.my)

Admin1