‘Smart Bus Stop’ bakal diperkenal Oktober ini

SHAH ALAM, 19 SEPT: ‘Smart Bus Stop’ yang dilengkapi kemudahan aplikasi dalam talian akan diperkenalkan, pada Oktober ini.

Pengurus Projek Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Mazlan Mahadi berkata, sebagai permulaan hanya beberapa lokasi dipilih sebagai perintis kepada perancangan itu menjelang tahun depan.

Katanya, satu sistem pengawasan bas menerusi pusat kawalan akan turut diperkenalkan bersama pelancaran aplikasi itu nanti.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat lokasi hentian terdekat dan laluan bas, sekali gus menjimatkan masa.

“Hasil perkongsian maklumat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kami juga sedang memajukan sistem pengesan bas yang membolehkan pengguna membuat aduan secara terus.

“Ia membabitkan cara pemanduan, kejadian tidak diingini atau kes tertinggal barang,” katanya.

Mazlan berkata, sistem itu membolehkan pihaknya mengawal mutu perkhidmatan melalui aduan dan pemerhatian.

SDDU menaik taraf perhentian bas menjadi ‘Smart Bus Stop’ yang dilengkapi sistem maklumat penumpang, kemudahan Wifi, kamera litar tertutup dan butang kecemasan khusus untuk golongan wanita.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor mencatatkan 6.02 juta pengguna sejak diperkenalkan, pada 2015 hingga Ogos 2017.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :