SMUE bukti pembelaan terhadap warga emas

Skim Mesra Usia Emas (SMUE) antara Insiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan bagi membolehkan kumpulan warga  emas berusia 60 tahun ke atas menikmati manfaat sebahagian daripada hasil negeri.

Mula diperkenalkan pada 2008, SMUE dilaksanakan bertujuan membantu keluarga warga emas berdaftar yang meninggal  dunia dengan memberikan insentif RM2,500.

Fasa pertama RM1,000 diberikan selepas menerima laporan kematian serta dokumen lengkap yang diserah dan disahkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki RM1,500 diserahkan selepas 60 hari dari tarikh serahan pertama, dalam satu majlis khas.

Menyingkap semula syarat kelayakan pemohon, warga emas yang layak mendaftar adalah warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas sama ada lahir dan sedang menetap di Selangor atau lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebelum 1  Febuari 1974.

Warga emas yang sedang menetap di Selangor atau bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun turut layak memohon.

Bagi warga emas yang tidak dilahirkan di Selangor (kad pengenalan bukan berkod 10) perlu mendapatkan pengesahan taraf pemastautin secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun, di negeri itu.

Sejak diperkenalkan pada 2008, sehingga kini, sejumlah RM223.213 juta sudah dibelanjakan untuk penerima di sembilan daerah di Selangor dengan pembayaran fasa pertama berjumlah RM1,000 diberikan kepada 90,682 membabitkan kos RM90.682 juta.

Baki pembayaran fasa kedua RM1,500 kepada 88,354 pendaftar pula masih dalam proses dengan   jumlah perbelanjaan RM132.531 juta.

Pegawai Pemasaran dan Promosi Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), R Chanter berkata, sambutan pendaftaran SMUE berada dalam keadaan baik dan dianggarkan hampir 500 pendaftar baru  direkodkan, setiap minggu.

Katanya, SMUE yang kini berada di bawah kumpulan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mensasarkan jumlah pembiayaan RM30.867 juta, bagi tahun 2017.

Mengikut rekod sehingga 15 Disember lalu, sejumlah 280,037 warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) mendaftar di bawah program SMUE dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Seri Andalas sebanyak 7,727 pendaftaran.

Mengikut pecahan DUN, Damansara Utama merekodkan pendaftaran warga emas tertinggi dengan 7,472 diikuti Seri Andalas (7,239) dan Sungai Pinang (7,096).

DUN Selat Klang pula merekodkan pendaftaran OKU tertinggi dengan 496 orang diikuti Seri Andalas (488) dan Meru (431).

Chanter berkata, pihak SMUE turut berhadapan beberapa pendaftar yang gagal dikesan terutama  bagi menjelaskan baki bayaran kepada waris.

Katanya, SMUE sehingga kini masih menjejaki mereka yang sudah berpindah serta bertukar alamat   dan mengharapkan mereka tampil untuk menuntut baki bayaran.

Berdasarkan arkib temuramah SelangorKini sebelum ini, semua penerima menyambut baik SMUE dan menyifatkan ia tindakan prihatin Kerajaan Negeri kepada nasib rakyat.

M Saravanan, 34, dari Morib antara waris yang menerima RM2,500 dalam dua fasa.  “Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar di atas pemberian wang tunai ini. Saya berharap program ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Rozman Abdul Rasid yang pernah menerima manfaat SMUE menyifatkan Kerajaan Negeri berpegang kepada janji bagi memastikan hasil negeri dikongsi bersama rakyat “Saya mewakli Allahyarhamah ibu saya pernah menerima sumbangan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana pemberian ini membuktikan segala janji yang dikatakan ditunaikan. Saya berharap program ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

OLEH AFIX REDZUAN (selangorkini.my)

Admin1