Tingkat kaedah pemberian Food Stamp

SHAH ALAM, 10 MEI: Program Bantuan Makanan Asas Food Stamp perlu dipertingkat dan diperkemaskan melalui beberapa kaedah yang boleh dikaji semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, kaedah itu boleh dikaji semula khususnya penghantaran dari rumah ke rumah membabitkan penerima yang tidak mempunyai kenderaan.

Katanya, pengagihan secara berpusat ketika ini menyukarkan penerima untuk hadir menerima sumbangan.

IMG_3824“Kita memahami mungkin kos kaedah ini akan sedikit meningkat tetapi boleh dihadkan kepada golongan tertentu.

“Ada penerima yang sanggup menaiki bas dan teksi untuk mengambil sumbangan ini setiap bulan. Jadi, ia menyukarkan penerima,” katanya kepada Selangorkini di majlis penyerahan bantuan itu bagi bulan April, di Dewan Kencana, di sini, hari ini.

Shuhaimi berkata, inisiatif penghantaran dari rumah ke rumah itu dilaksanakan petugas DUN beliau kepada penerima orang kelainan upaya dan warga emas.

“Bagaimanapun, ia dibuat secara bergilir setiap bulan dan menyukarkan petugas yang mempunyai tugas lain sedia ada,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 penerima menerima bantuan terbabit bagi bulan keempat tahun ini.

Shuhaimi berkata, permintaan penerima bantuan di kawasannya melebihi 200 yang layak.

“Atas inisiatif DUN, mereka ini menerima sumbangan lain setiap tiga bulan secara bergilir,” katanya.

OLEH NORHAYATI UMOR (selangorkini.my)

Admin2

Leave Comment :