Tunggakan Air Meter Pukal Tidak Perlu Dibayar Sekaligus

Shah Alam – Kerajaan Negeri telah mencadangkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) agar tunggakan air meter pukal tidak perlu dibayar sekaligus sekiranya penduduk mahu membuat migrasi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan setinggan, Iskandar A. Samad berkata, ia perlu bagi membolehkan penduduk membayar tunggakan itu secara ansuran.

“Walau bagaimanapun, jika bil-bil tunggakan ini dari ketika pangsapuri itu diuruskan oleh pemaju, SYABAS mesti menuntut dari pemaju bukan dari penduduk dan membenarkan penduduk membuka akaun-akaun baru untuk meter individu mereka.

Iskandar berkata, penukaran dari meter pukal ke meter individu akan melihat pemotongan bekalan hanya untuk pengguna yang tidak menjelaskan bil-bil mereka.

“Ini adalah lebih adil tetapi proses migrasi ini adalah terlalu lambat kerana masih beribu-ribu penghuni perumahan berstrata masih menunggu migrasi dilakukan oleh SYABAS.

“Malah, migrasi ini juga membolehkan penduduk mendapat bekalan 20 meter padu air percuma di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya.

Katanya, SYABAS sepatutnya membawa pemaju ke makamah bagi menuntut hutang bil-bil tertunggak tersebut.

Pemaju pula akan menuntut hutang dari penduduk dan ini pula adalah lebih adil kerana mereka yang selama ini membayar bil-bil air mereka tidak akan dihukum denga pemotongan bekalan air.

Tambahan pula jika bil yang dituntut itu termasuk air yang digunakan oleh pemaju dan bukan oleh penduduk semata-mata dan rekod-rekod adalah pada pemaju maka penduduk akan terus teraniaya,” katanya.

07 hb April 2010 – Sinar Harian

Admin1

Leave Comment :