Ucapan Pelancaran Skim Peduli Sihat

OLEH Dato’ Menteri Besar Selangor

Hari ini adalah paling bersejarah pada rakyat Selangor, kerana Kerajaan
Negeri akan melancarkan satu program kesihatan yang hanya ada di Selangor.Tidak ada di negeri lain. Hanya di Selangor.

Rakyat Malaysia hari ini diancam oleh penyakit tidak berjangkit –
noncommunicable diseases (NCDs) – seperti sakit  jantung, kanser, penyakit
pernafasan dan kencing manis.

Pada masa ini 73 paratus kematian di Malaysia adalah berpunca dari
penyakit-penyakit tidak berjangkit, paling ramai adalah serangan jantung dan stroke. Trend penyakit tidak berjangkit ini semakin meningkat.

Analisis dari National Health and Morbidity Survey 2011 menunjukkan sekurang-kurangnya 63 peratus orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas berisiko mengidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, samada gemuk/obesity, tekanan darah tinggi, kadar kandungan gula dan kolestoral yang tinggi dalam darah.

Justeru itu Malaysia hari ini mempunyai penduduk yang disifatkan sebagai “sakit” dan “berisiko.” Kenyataan ini tidak dibuat oleh NGO, pembangkang atau Kerajaan Negeri Selangor, tetapi kenyataan ini dibuat oleh Kementerian Kesihatan sendiri melalui laporan National Health and Morbidity Survey 2015.

Bagaimanakah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju atau menjadi
negara yang berpendapatan tinggi jikalau penduduknya sakit? Peningkatan penyakit tidak berjangkit akan menghakis kejayaan yang selama ini dicapai oleh pembasmian kemiskinan.

Lelaki yang berumur 40an atau 50an yang meninggal dunia akibat stroke atau hilang upaya kerana kakinya dipotong akibat kencing manis akan menyebabkan sesebuah keluarga itu jatuh kembali ke bawah paras kemiskinan.

skim-sihatPenyakit kronik kerana tiada rawatan awal akan menyebabkan beban kewangan yang tinggi kepada keluarga. Penduduk Malaysia hari ini sakit kerana perbelanjaan kesihatan yang buruk dan memalukan.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan perbelanjaan
per kapita untuk kesihatan adalah antara yang terendah di dunia, bahkan lebih rendah dari negara-negara termiskin.

Pada 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kasihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara-negara lain seperti Cuba iaitu 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, bahkan Vietnam 7.1 peratus dan negara jiran kita Thailand 6.5 peratus.

Selangor adalah negeri termaju di Malaysia. Kini kita menyumbang kira-kira 25 peratus dari kekayaan Malaysia. Selangor mahu meningkatkan sumbangan kita kepada kekayaan negara dan kita mahu menjadi sebuah negeri perdana di rantau ini.

Kita hanya boleh mencapai cita-cita ini sekiranya Selangor mempunyai rakyat yang sihat dan bertenaga. Rakyat yang tidak sihat akan menghakis produktiviti dan menjejaskan prestasi ekonomi.

Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil langkah tegas
untuk meningkatkan kesihatan rakyat dengan menangani gejala penyakit tidak berjangkit.

Menurut WHO, antara cara terbaik menangani  penyakit tidak berjangkit adalah melalui sistem tindakan asas yang berimpak tinggi yang disampaikan melalui pendekatan rawatan kesihatan asas — primary health-care approach — untuk memperkukuhkan  pengesanan awal dan rawatan yang bertepatan masa.

Tindakan awal seperti ini merupakan pelaburan ekonomi terbaik untuk mengelakkan kos rawatan lebih mahal pada masa akan datang. Beban kos kesihatan yang meningkat ini akan ditanggung oleh keluarga. Kepada negara pula, ia akan mengalihkan dana negara dari pelaburan yang lebih produktif.

Inilah sebab mengapa Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah berani
memperkenalkan program rawatan kesihatan asas, primary health care, melalui insiatif Peduli Sihat.

Kerajaan Negeri didorong oleh keyakinan bahawa matlamat penjagaan kesihatan asas adalah kesihatan yang lebih baik untuk semua. Hasrat ini adalah selaras dengan gagasan WHO.

peduli-sihatMenurut pertubuhan itu juga, antara unsur penting untuk mencapai matlamat ini merangkumi pengurangan jurang kesihatan rakyat, menyusun perkhidmatan kesihatan di sekitar keperluan dan harapan rakyat serta meningkatkan penyertaan semua pihak yang berkepentingan. Kami yakin skim Peduli Sihat menjurus ke arah mencapai matlamat tersebut.

Kita tahu bahawa sekiranya Kerajaan tidak bertindak, jurang kesihatan di
kalangan rakyat akan meningkat. Orang kaya akan terus sihat dan mendapat rawatan dan penjagaan kesihatan kelas pertama, sementara orang miskin akan sakit dan terlantar tanpa rawatan.

Dengan nilai ringgit yang merudum, kesusahan yang menimpa rakyat akibat perlaksanaan GST akan terus terbeban dan akan ditambah lagi dengan kos ubat-ubatan yang meningkat. Kita tidak akan membenarkan Putrajaya terus
menghisab darah rakyat melalui GST. Apabila kita sampai di Putrajaya, GST akan dihapuskan.

Laporan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2014 oleh
Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendapati pendapatan Kumpulan B40 di Negeri Selangor adalah di antara RM 1,760 sehingga RM 2,928.

Laporan ini juga mendapati bahawa Kumpulan B40 di Negeri Selangor membelanjakan lebih kurang RM 100 sebulan atau RM 1,200 setahun untuk rawatan kesihatan, perubatan, insurans kesihatan dan sebagainya.

Dengan kad kesihatan Peduli Sihat tuan-tuan boleh pergi menemui doktor untuk mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di klinik berdaftar yang terdekat dengan kediaman, 24 jam dan tujuh hari seminggu.

Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 76% daripada Kumpulan B40, iaitu golongan miskin dan berpendapatan rendah,  di kawasan bandar memilih penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk in-patient dan 59% untuk out-patient.

19-12-kayuhan-sihatDaripada jumlah tersebut, 86.6% daripadakumpulan B40 membayar sendiri kos rawatan dan perubatan mereka. Pada masa sama, pergantungan tinggi terhadap penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan awam telah mengakibatkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan dengan waktu menunggu yang lebih lama.

Saya sarankan tuan-tuan dan puan-puan selepas memperolehi kad Peduli Sihat ini untuk terus berjumpa doktor, walaupun tidak demam. Buat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan tuan-tuan dan puan-puan tidak mengidap tekanan darah tinggi,masalah jantung, masalah pernafasan, kencing manis dan lain-lain.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua klinik-klinik di segenap pelusuk Negeri Selangor yang bersetuju menjadi panel program Peduli Sihat ini dengan bayaran konsultasi paling rendah yang ditetapkan oleh Malaysian Medical Association.

Setiap lawatan, yuran konsultasi dan harga ubat akan dipantau secara atas talian oleh SelgateCorporation, sebuah anak syarikat PKNS, yang melaksanakan program Peduli Sihat.

Kerajaan Negeri Selangor melibatkan diri dalam sektor kesihatan bukan tujuan membuat keuntungan, tetapi dengan matlamat mencapai keadilan sosial agar golongan miskin dan berpendapatan rendah memperolehi rawatan kesihatan asas dan pemeriksaan kesihatan secara berjadual.

Justeru itu program penjagaan kesihatan asas kini menjadi satu tonggak penting pada strategi keadilan sosial Kerajaan Negeri Selangor.

Melalui Peduli Sihat untuk sejuta rakyat Kerajaan Negeri juga akan memperolehi dan mengumpul data status kesihatan rakyat Selangor. Data kesihatan rakyat itu kemudiannya akan digunakan untuk memberdayakan lagi program kesihatan rakyat Selangor.

KARNIVAL SIHAT SELANGORKesihatan tuan-tuan dan puan-puan adalah harta yang paling bernilai kepada Kerajaan Negeri. Kita tidak akan membiarkan mana-mana rakyat Selangor terlantar tanpa rawatan.

Melalui Skim Peduli Sihat, dengan mengurangkan kemiskinan dan jurang
kesihatan di kalangan rakyat Selangor membuka lembaran baru dalam strategi pembelaan kesihatan rakyat.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya melancarkan skim Peduli Sihat.

Sumber : Selangorkini

Atikah

Leave Comment :