Urusan Pembayaran HPIPT dipermudahkan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Proses pembayaran Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) menerusi kaedah Bayaran Secara Elektronik (EFT) mula dibuat sejak Julai lalu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kaedah itu diambil bagi mempercepat proses pembayaran.

“Kita sudah mulakan kaedah ini kepada permohonan baru yang diterima urus setia.

“Asalkan kita dibekalkan dengan maklumat lengkap akaun bank pemohon, maka kaedah EFT ini boleh dilakukan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN), Ng Suee Lim, berkata HPIPT memerlukan banyak dokumen secara atas talian selain pemberian cek pembayaran yang tamat tempoh.

Nik Nazmi berkata, perkongsian dokumen secara atas talian membolehkan proses permohonan dilakukan lebih cepat untuk semakan pemohon dalam tempoh dua hingga empat minggu.

“Dalam masa sama, kita juga perlukan ‘hard copy’ untuk diberikan kepada urus setia bagi dokumen pengesahan IPT dan permastautin.

“Semua proses perlu dibuat bagi memastikan permohonan memenuhi syarat kelayakan serta mengelak penipuan dokumen,” katanya.

OLEH LIZAWATI MADFA

 

Admin1

Leave Comment :