Wanita perlu jalani saringan awal kanser

AMPANG JAYA, 11 FEB : Wanita digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan terutama berkaitan penyakit kanser dengan melakukan saringan awal.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saringan awal itu penting bagi mengelakkan penyakit itu daripada terus berleluasa.

“Di Selangor terutamanya Kerajaan Negeri sudah menyediakan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada wanita untuk melakukan pengesanan awal terhadap penyakit kanser payudara.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan statistik yang diterimanya tidak sampai 50,000 orang menggunakan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri untuk memeriksa mammogram.

“Oleh itu, saya berharap wanita di Selangor terutamanya untuk pergi ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk memohon pemeriksaan mammogram,” katanya.

OLEH SHEEDA FATHIL (selangorkini.my)

Admin1