YAWAS salur RM292,800

SHAH ALAM – Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS) sudah membelanjakan RM292,800 untuk membayar khairat kematian kepada waris peserta Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) yang meninggal dunia sebelum usia 18 tahun.

Eksekutif Kanan Perhubungan Awam dan Pengurusan Acara YAWAS, Atikah Akma Ramly berkata, pembayaran khairat kematian itu adalah salah satu manfaat yang diterima peserta TAWAS. “Jumlah pembayaran khairat kematian TAWAS adalah RM292,800, sehingga 2 Mac lalu.

“Bagaimanapun, YAWAS sentiasa mendoakan setiap peserta TAWAS dipanjangkan usia dan mereka akan menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun,” katanya kepada SelangorKini, di sini.

Sementara itu, statistik status pendaftaran TAWAS sehingga 4 Mac lalu mencatatkan 287 peserta TAWAS sudah meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun dari 263,618 keahlian sejak dilancarkan, pada 2008.

Sebaik PAKATAN mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008, skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) atau kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilancarkan bagi menjaga kebajikan rakyat bermula sejak dilahirkan hingga meninggal dunia.

Skim TAWAS adalah satu skim khas untuk anak yang dilahirkan di Selangor dan menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun serta pelbagai manfaat lain.

OLEH NAZLI IBRAHIM (SelangorKini 10 – 17 Mac 2017)

 

Admin2

Leave Comment :