YAWAS sumbang RM1,500 khairat kematian

BANTING, 7 OGOS: Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat ‘Diagnos Langerhans Cell Histiocytosis’, menerima manfaat khairat kematian daripada Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) berjumlah RM1,500.

Sumbangan berbentuk cek itu disampaikan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin sambil diperhatikan pegawai YAWAS yang turut tampil menziarahi waris mangsa.

Ketika ditemui SelangorKini, Hasnul berkata, skim manfaat itu sememangnya layak diterima setiap waris bagi kematian anak yang berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam membela kebajikan rakyat dan program hari ini adalah salah satu daripada 40 program yang dilaksanakan, di Selangor.

“Kita sentiasa berusaha memikirkan program lain yang dapat dijalankan demi memberi manfaat kepada rakyat khususnya.

“Di samping itu, bantuan sewajarnya juga akan diberikan tanpa mengira kaum, agama, ideologi politik mahupun taraf ekonomi seseorang itu,” katanya pada Penyerahan Cek Khairat Kematian TAWAS, di Lot 310 Batu 1, Lorong Haji Azhar, Kg Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun turut menzahirkan ucapan takziah dan meluahkan rasa simpati berikutan kematian adik Muhammad Aqkheer Al’aerieq Mohd Nazib yang berusia setahun itu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan YAWAS, saya berharap mereka bersabar menerima ujian ini dan semoga dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Nor Hijah Abd Samad, 36, menerima bantuan bagi pihak anaknya yang sebelum ini berdaftar dengan TAWAS, dan beliau merupakan penerima kedua manfaat skim terbabit di DUN Morib.

Beliau terharu dengan komitmen ditunjukkan Kerajaan Negeri terhadap rakyat di negeri berkenaan.

“Pada awalnya saya dihubungi YAWAS mengatakan yang saya layak menerima sumbangan RM1,500 ini dan kemudiannya menyatakan hasrat untuk menziarahi kami sekeluarga.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri untuk bantuan ini. Mungkin ia simbolik untuk saya sekeluarga, meskipun bukan jumlah yang besar tetapi sekurang-kurangnya dapat memulihkan kembali semangat saya,” katanya.

TAWAS dikelola di bawah YAWAS kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dengan permohonannya perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun.

Sehingga kini, seramai 323,186 ahli berdaftar direkodkan.

OLEH ZAREEF MUZAMMIL (selangorkini.my)

Admin1